Monday, November 16, 2009

KITA TAK KAYA

tadi "aku terbaca" satu tulisan maya seorang sahabat yang sudah makan abad tidak bersua muka. apatah lagi bertegur sapa. aku tidak ada sejarah, tapi mungkin aku juga tidak mencari jodoh dengan dia untuk peluang setidaknya bertanya kabar berita.

dan terdetik di nafsu akal untuk menulis tentang apa yang nak aku tulis selepas ini.

setiap manusia punya lagak dan angkuh diri. kita manusia, mengaku sahaja tak usah berpura-pura tidak. cuma apa yang membezakan antara manusia adalah bagaimana lagak dan angkuh ini dizahirkan dan ditontonkan kepada manusia lain disekeliling. yang angkuh dengan wang dan hartanya, yang lagak dengan pangkat dan kuasanya, yang mendongak dengan kejayaan dan pencapaiannya. apa pun bidangnya, lagak itu pasti wujud.

dan disusunkan Tuhan pada sesetengah manusia(pada kacamata manusia lain) jalan mudah untuk mereka meningkat usia dan menjadi dewasa. pada kacamata manusia ini, sesetengah manusia itu mudah jalan mereka, terang laluan mereka. apa yang dicita hampir semunya termakbul. apa yang dihajati, semacam mudah untuk mereka perolehi. pada kacamata manusia lain, sesetengah manusia ini memang begitu aturan hidup mereka. mudah dan sentiasa dipermudahkan.

dan ada juga sesetengahnya, dari pandangan orang luar setiap nikmat itu terhasil dengan titisan keringat terakhir. apa yang dimiliki semuanya kerana lelah yang menguji sabar. sesuap nasi, tapi usahanya semacam tidak masuk di akal. seteguk air, tapi gigihnya bagai menadah curahan air dari kayangan, penuh sakti. sehingga terbit rasa simpati dan hiba diri pada orang yang semacam ini.

ada sahabat bertegur, tuturku tidak ada lapisnya. patahku terus kepada maknanya. adakala, kadangkala, menyinggung dan membuat orang tersinggung. pernah juga sampai ke telinga, kata mereka aku ini begitu kurang sifat sensitifnya. cakap siang tanpa pandang, cakap malam pula tanpa dengar. sedap di mulut sahaja. tak tahu untuk berpolitik, tapi pemegang jawatan tadbir dan diplomatik. aku dengar, aku ingat, dan aku belajar.

setiap masa kita sentiasa dinilai. perilaku kita sentiasa menjadi penghakiman tanpa bicara. tutur kita ada masa jadi ikutan, ada ketika jadi kutukan. gaya kita pun sama. ada yang disukai, tak kurang juga yang mencebik benci. kita juga begitu. tak pernah rehat dari menilai dan menghakimi. pada yang sudah lama dikenali, apatah lagi yang masih baru mendekati diri. untung pada yang punya wajah dan rupa, impresi pertama sentiasa menyenangkan semua. tapi tak semuanya kekal senang, banyak juga yang tersalah hukum.

itulah kita, tak puas kalau tak menunjuk nunjuk. semacam rasa sakit selagi tidak diceritakan.
tak salah, tapi biarlah berpada. janganlah sampai mengundang salah sangka dan rasa curiga. kita manusia, memang ada padanya sedemikian rupa. Bukanlah mahu berceramah tanpa tauliah. cuma berkongsi pada yang ingin cuba merasa. disebalik sifat tegar dan keras kepala, ada setitik bakat, yang kata mereka, kalau dengan pena aku punya aura.

yang baik kita sama-sama kongsi, yang hitam kita sama-sama putihkan.


-budak mengamuk-

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home